
BENTONG: Perasaan cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki berusia 19 tahun disyaki mencekik teman wanitanya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher yang menyebabkan kekurangan oksigen.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada suspek tidak berpuas hati selepas mangsa berjumpa lelaki lain.
“Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati mangsa berjumpa lelaki lain.
“Suspek sendiri menghubungi polis dan memaklumkan sudah mencekik mangsa,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong di sini, hari ini.
Azry Akmar berkata, suspek berasal dari Perak dan dipercayai tiba di rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita berkenaan.
Katanya, mangsa yang berasal dari Kedah menyewa rumah itu bersama beberapa rakan yang juga pelajar.
“Suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa, namun sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja.
“Ujian air kencing suspek didapati negatif, manakala keadaan mentalnya setakat ini adalah normal,” katanya.
Suspek direman sehingga 12 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang ke Kedah untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian pukul 4.32 pagi semalam, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek.




