
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi bentuk pampasan, kaedah penilaian dan mekanisme pelaksanaan ganti rugi kepada mangsa atau waris kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerajaan bersetuju memasukkan mekanisme pampasan berkenaan dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sebagai tambahan kepada hukuman jenayah sedia ada.
Katanya, langkah itu bagi memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung mangsa atau keluarga mereka.
“Mekanisme terperinci berkaitan bentuk pampasan, kaedah penilaian dan pelaksanaannya sedang diperhalusi sebelum cadangan pindaan dibentangkan di Parlimen,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai cadangan mewajibkan pampasan (restitusi) daripada pemandu mabuk kepada mangsa atau waris yang mengalami kecederaan parah atau kehilangan anggota keluarga.
Anthony berkata, kerajaan memandang serius kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
Katanya, dari aspek penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi bersasar, termasuk pemeriksaan alkohol di lokasi dan waktu berisiko tinggi.
“Daripada aspek pencegahan pula, pendidikan dan advokasi mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah terus diperkukuh, termasuk menggalakkan pengguna memilih alternatif perjalanan selamat sekiranya tidak berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.
“Kerajaan juga meneliti pengukuhan sistem mata demerit serta tindakan terhadap lesen memandu pesalah berulang bagi memperkukuh keseluruhan kerangka tindakan terhadap kesalahan berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dibawa terus ke mahkamah dan tidak termasuk dalam senarai kesalahan yang dikenakan mata demerit.
“Pendekatan kerajaan adalah memastikan tindakan terhadap pemandu mabuk bukan sahaja merangkumi hukuman kepada pesalah, tetapi juga perlindungan dan pembelaan lebih baik kepada mangsa serta waris, di samping langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kejadian,” katanya.




