
KUALA LUMPUR: Dua individu bergelar Datuk adalah di antara empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri ke-9 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran negara diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sumber berkata, penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)
“Tiga daripada mereka direman sehingga Selasa ini manakala seorang wanita yang juga pembantu kepada salah seorang Datuk dibebaskan hari ini,” katanya.
Beberapa kes ketika ini sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan tangkapan empat pegawai kanan terbabit.
Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Putrajaya, Irza Zulaikha, selama lima hari bermula Jumaat lalu terhadap tiga individu.
Seorang lagi suspek direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.