
SEPANG: Seramai 88 jemaah berangkat menunaikan umrah menerusi Pakej Umrah Ziarah Turkiye (Istanbul-Bursa) bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.
Rombongan berkenaan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Saudi Airlines.
Lebih istimewa, rombongan itu turut disertai Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan dua mutawwif berpengalaman.
Md Daud berkata, sebelum menunaikan umrah, para jemaah akan dibawa ziarah ke Turkiye (Istanbul-Bursa) terlebih dahulu selama empat hari tiga malam.

“Lebih menguntungkan, kita dapat pergi ke Istanbul dalam musim sejuk di sana, masih ada salji. Bagi mereka yang tidak pernah merasainya, ini masanya.
“Selain itu, banyak kesan-kesan nabi terdapat di sana, rambut nabi, pedang para sahabat dan sebagainya. Ini sekali gus memberikan impak yang sangat besar,” katanya ketika ditemui di KLIA hari ini.
Md Daud berkata, istimewanya kali ini para jemaah dapat menyambut Ramadan di Madinah dan seterusnya di Makkah.
Tambahnya, pakej umrah tersebut bermula dari RM11,790 seorang untuk bilik berempat, termasuk makan dan minum semasa di Turkiye, Madinah dan Makkah.
Sementara itu, Andalusia turut menawarkan pakej umrah ziarah merangkumi pelbagai destinasi lain antaranya, Abu Dhabi, Dubai, Maghribi, Sepanyol, London, Paris dan sebagainya.
Pihak Andalusia juga dalam perancangan untuk menawarkan pakej umrah ziarah ke destinasi yang baharu.