
PETALING JAYA: Enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dan menuntut wang tebusan sebanyak RM8 juta dalam kejadian di Dataran Sunway, 16 Julai lalu.
Tertuduh, A. Ravichandran, 45; R. Elanggovan, 45; M. Jeyaraj, 43; Moses De Bretto John Patrick, 40; Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tujuh lagi individu yang masih bebas menculik Chui Kok Mun, 44, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway pada pukul 5.15 petang, 16 Julai lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Menurutnya, kes itu turut melibatkan tuntutan wang tebusan yang tinggi iaitu RM8 juta selain memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Namun, peguam T. Daneish dan S. Vinesh yang mewakili Moses De Bretto merayu supaya anak guam mereka diberikan jaminan dengan alasan lelaki itu merupakan ahli perniagaan minyak terpakai yang perlu menyara isteri serta dua anak berusia 11 dan sembilan tahun.
Sementara itu, Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj yang diwakili peguam Kailash Sharma turut memohon jaminan atas faktor tanggungan keluarga.
Menurut Kailash, Ravichandran mempunyai isteri yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM1,800 sebulan serta tiga orang anak, manakala Elanggovan merupakan pencari nafkah tunggal yang memperoleh gaji RM1,500 sebulan dan menanggung isteri serta tiga anak.
Katanya, Jeyaraj pula perlu menyara isteri dan dua orang anak.
Ziyauddin dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam turut merayu agar diberikan jaminan dengan alasan masing-masing mempunyai tiga dan enam anak yang masih kecil.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Dr. Syahliza memutuskan tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 18 Julai lalu, media melaporkan seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa penculikan diselamatkan polis selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di Shah Alam kira-kira pukul 1 pagi.
Terdahulu, keenam-enam tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pukul 9.30 pagi dengan menaiki dua van dalam keadaan bergari serta dikawal ketat anggota Jabatan Siasatan Jenayah yang lengkap bersenjata.







