
CYBERJAYA: Kerajaan menawarkan langganan perisian kecerdasan buatan (AI) secara percuma selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang menamatkan modul pembelajaran menerusi platform Rakyat Digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan antara komponen program AI Untuk Rakyat yang bertujuan meningkatkan kefahaman serta menggalakkan penggunaan AI, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Kita mulakan kohort anak muda untuk kohort umur sekitar 18 hingga 30 tahun dan Kementerian Digital akan menyiapkan modul-modul kursus.
“Belia yang melengkapkan kursus AI berkaitan akan melanggan secara percuma untuk tempoh tiga bulan dengan aplikasi AI terkemuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Anwar berkata, antara modul yang ditawarkan melalui program berkenaan ialah Keselamatan Al, Cyber SAFE, Agentic Al, Generatif Al dan Cloud Untuk Rakyat.
“Kita nak pastikan program AI Untuk Rakyat ini yang percuma dibuka mulai 31 Ogos 2026.
“Jadi, Hari Merdeka kita lancarkan dan dianggarkan memberi manfaat kepada 100,000 anak muda,” katanya.






