
PUTRAJAYA : Kerajaan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara dengan memanfaatkan teknologi, perkongsian maklumat risikan, pemprofilan risiko serta operasi penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan larangan kemasukan warganegara Israel dikuatkuasakan secara menyeluruh dan tanpa sebarang kelonggaran.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memberitahu, pendekatan itu mencerminkan pendirian tegas kerajaan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap Israel, selain menzahirkan komitmen Malaysia untuk mempertahankan hak rakyat Palestin serta melindungi kepentingan negara.
Kementerian itu turut menegaskan kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang dan aspek keselamatan dalam negeri akan terus diperkasakan menerusi pelaksanaan yang tegas, profesional serta tanpa sebarang kompromi.
“KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia terus menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963 [Akta 155], Akta Pasport 1966 [Akta 160], peraturan-peraturan imigresen yang sedang berkuat kuasa serta penilaian keselamatan oleh agensi-agensi keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyatakan KDN turut menegaskan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Israel tidak diiktiraf bagi tujuan kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
“Di samping itu, setiap permohonan kemasukan warga asing ke Malaysia akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan serta penilaian risiko yang menyeluruh.
“Mana-mana individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, kepentingan negara atau termasuk dalam kategori imigran yang dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia atau akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan bahawa pengurusan pintu masuk negara tidak hanya tertumpu kepada urusan imigresen, sebaliknya menjadi sebahagian daripada mekanisme keselamatan negara yang digerakkan secara bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
Menurut kementerian itu, kerjasama menyeluruh tersebut membuktikan komitmen berterusan KDN untuk memastikan setiap keputusan berkaitan kemasukan warga asing dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan negara, kedaulatan, kepentingan awam serta pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.





