
KUALA LUMPUR: Maybank hari ini mengumumkan penjenamaan semula Menara Merdeka 118 kepada Menara Merdeka Maybank, selaras dengan peranan bangunan ikonik itu sebagai ibu pejabat baharu kumpulan perbankan berkenaan.
Susulan itu, alamat berdaftar rasmi ibu pejabat Maybank kini ialah Aras 70, Menara Merdeka Maybank, Presint Merdeka 118, 50118 Kuala Lumpur.
Pada masa sama, bangunan ibu pejabat lamanya di Jalan Tun Perak yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Maybank turut diberikan nama baharu, iaitu Menara Tun Perak.
Penjenamaan semula kedua-dua bangunan tersebut berkuat kuasa bermula 28 Julai 2026.
“Maybank ingin memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa Cawangan Utama Kuala Lumpur akan terus beroperasi dari Menara Tun Perak sehingga dimaklumkan kelak.
“Penamaan semula ini tidak akan memberi kesan kepada pelanggan yang mempunyai akaun di cawangan tersebut, dan semua perkhidmatan perbankan akan terus beroperasi seperti biasa,” menurut Maybank dalam satu kenyataan.






