
SEREMBAN: Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sekiranya badan itu terus enggan bekerjasama dalam urusan pengurusan pelarian.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan UNHCR amat penting bagi memastikan proses saringan terhadap pelarian dilaksanakan secara menyeluruh sebelum kad UNHCR dikeluarkan.
Menurut beliau, kegagalan badan antarabangsa itu untuk bekerjasama hanya akan menyebabkan Malaysia terus menanggung beban akibat kebanjiran pelarian.
“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya supaya kita tidak terus terbeban.
“Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR yang boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Perkara ini perlu diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.
Mohamad berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang mengambil langkah bagi memastikan setiap individu yang memohon kad UNHCR menjalani proses saringan yang lebih ketat serta memperoleh persetujuan kementerian terlebih dahulu sebelum kad berkenaan dikeluarkan.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu mempunyai satu perjanjian yang jelas dengan UNHCR bagi menetapkan bidang kuasa, tanggungjawab serta had tindakan yang boleh dilakukan badan tersebut sepanjang beroperasi di negara ini.
“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP). Mereka buat permohonan secara dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad. Ini bermakna saringan kita tidak ada. Itu yang perlu kita uruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengetepikan aspek keselamatan negara dalam menguruskan isu pelarian, walaupun Malaysia sentiasa mengambil pendekatan berperikemanusiaan.
“Kita perlu menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negara. Kita tidak mahu kerana baik hati kita, ia akhirnya menjadi masalah kepada ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.







