
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu arah (guide) rumah hantu di sebuah taman tema dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, Februari lalu.
Hakim Datin Surita Budin turut memerintahkan warga Bangladesh, Md Israful Alam, 30, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya pada 7 Februari lalu serta mengikuti sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa ketika remaja berkenaan berada di dalam rumah hantu sebuah taman tema di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pukul 12.30 tengah hari, 7 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd. Shariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang bersifat pencegahan bagi memberi mesej jelas bahawa sebarang jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan.
Beliau berkata, perbuatan tertuduh bukan sahaja meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa, malah menjejaskan kehidupan hariannya.
“Mangsa masih terkesan dengan kejadian tersebut dan kini berasa takut terhadap individu warga asing. Sebelum ini mangsa seorang yang ceria serta gemar melakukan aktiviti riadah bersama keluarga, namun selepas insiden itu dia menjadi takut untuk keluar dan menjalani aktiviti seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, peguam Kelvin Sidhu yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun, selain telah mengaku bersalah pada peringkat awal prosiding, sekali gus menjimatkan masa mahkamah.
Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ketika merekaberjalan dalam barisan di dalam rumah hantu berkenaan.
Mangsa yang terkejut dengan tindakan tertuduh kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat pada hari sama.
Siasatan lanjut mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut menunjukkan tertuduh berada di belakang mangsa ketika melakukan perbuatan tersebut, sekali gus mengukuhkan kes pendakwaan terhadapnya.





