
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera terhadap kewujudan penempatan haram pendatang tanpda izin (PATI) di sekitar Setia Alam di sini.
Beliau berkata, arahan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor beberapa hari lalu yang menetapkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan sekiranya berlaku pencerobohan tanah.
Menurutnya, MBSA akan mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang terlibat selain mengenal pasti status pemilikan tanah sama ada milik kerajaan atau persendirian sebelum tindakan lanjut diambil.
“MBSA akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah terbabit dan mengenal pasti sama ada tanah tersebut milik kerajaan atau persendirian.
“Hari ini, apabila perkara ini dibangkitkan, saya sudah memaklumkan pihak terbabit dan percaya tindakan segera akan dilakukan, terutamanya notis kepada tuan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Pelancaran Festival Turath Islami Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan sebuah penempatan haram warga asing di sekitar Setia Alam, meskipun operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di kawasan berkenaan pada awal April lalu.
Menurut beliau, penempatan haram itu dipercayai dibina di kawasan ladang kelapa sawit dan didakwa dihuni ribuan warga asing.
Susulan itu, kerajaan negeri menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan sebarang pencerobohan tanah serta pembinaan penempatan haram dapat dibendung demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.






