
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, dikenakan hukuman penjara lima minggu selepas Mahkamah Sesyen mendapati beliau bersalah atas pertuduhan menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, dalam prosiding yang berlangsung pada Rabu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Presiden Parti Warisan (Warisan) itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Dengan keputusan tersebut, hukuman penjara terhadap Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang tidak akan dilaksanakan buat masa ini sehingga rayuan berkenaan diputuskan.
Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sekiranya disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000, tertakluk kepada peruntukan ditetapkan.
Namun, dalam kes ini, hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Shafie adalah kurang daripada tempoh setahun selain pelaksanaannya turut ditangguhkan sementara menanti keputusan rayuan.




