
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperketat kawalan aktiviti pendakian di seluruh negara termasuk mengehadkan pendakian sehari (day hike) atau compressed hike di kawasan pergunungan berisiko tinggi.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi mengurangkan kejadian sesat, kemalangan serta kos operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia diambil susulan peningkatan kecenderungan segelintir pendaki yang kurang membuat persediaan, terlalu mengikut trend media sosial dan meneroka laluan baharu tanpa kebenaran sehingga mengundang pelbagai insiden kecemasan.
Menurutnya, keutamaan kerajaan adalah mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan di kawasan hutan, sekali gus mengelakkan keperluan melaksanakan operasi SAR yang memerlukan kos tinggi serta penggunaan sumber manusia yang besar.
“Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan risiko keletihan melampau, sesat laluan dan pelbagai kejadian kecemasan sebelum ia berlaku,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Mohammad Redzuan meminta kementerian menjelaskan langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan pendaki selain mengurangkan kejadian sesat yang memberi beban kepada kerajaan melalui operasi SAR.
Syed Ibrahim berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menguatkuasakan larangan aktiviti compressed hike di kawasan berisiko, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut melarang aktiviti sama di kawasan ekopelancongan di bawah seliaannya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang memperkukuh mekanisme saringan sebelum pendakian melalui pengisytiharan status kesihatan, rekod perubatan, perlindungan insurans serta cadangan pelaksanaan saringan gejala High Altitude Illness dan Acute Mountain Sickness, khususnya bagi pendakian di Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Tahan, Pahang.
Katanya, langkah itu membolehkan pendaki yang dikenal pasti berisiko diberi perhatian lebih awal sebelum dibenarkan meneruskan aktiviti pendakian.
Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia turut mewajibkan penggunaan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian berisiko tinggi di seluruh negara.
“MGP bukan sahaja bertindak sebagai jurupandu arah bertauliah, malah memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan pendaki, tindak balas ketika kecemasan dan memastikan pematuhan kepada prosedur pendakian,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini seramai 2,322 individu daripada komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP menerusi Program Pembangunan Kemahiran MGP.
Jelasnya, kerajaan kini giat membangunkan Sistem Pengurusan Trek Pendakian berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan teknologi penderiaan jauh dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia, selain menguji penggunaan peranti penjejak GPS bagi meningkatkan tahap keselamatan pendaki.







