
KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengakui hasrat membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia secara tetap bukan sesuatu yang mudah apabila memerlukan peruntukan melebihi RM300 juta bagi setiap penganjuran.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, selain kos hak penganjuran yang tinggi, satu lagi cabaran utama ialah mendapatkan kekosongan dalam kalendar perlumbaan F1 yang semakin padat.
Menurutnya, kedua-dua faktor itu perlu dipenuhi sebelum Malaysia dapat mempertimbangkan untuk kembali menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij tersebut.
“Jika kita mahu membawa semula F1 ke Sepang secara tetap, banyak perkara perlu dipertimbangkan. Dua kriteria utama ialah sama ada kita mempunyai dana untuk membayar yuran hak penganjuran dan sama ada terdapat kekosongan dalam kalendar F1,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rundingan dengan pihak pengurusan Formula Satu, yuran hak penganjuran sahaja dianggarkan antara AS$70 juta (RM280 juta) hingga AS$80 juta (RM327 juta) bagi setiap perlumbaan.
Katanya, kos menganjurkan perlumbaan di Asia juga lebih tinggi berbanding di Eropah kerana semua jentera, peralatan dan tenaga kerja perlu diterbangkan ke rantau ini.
“Daripada anggaran saya, keseluruhan kos penganjuran F1 setiap tahun tidak kurang daripada RM300 juta apabila mengambil kira semua perbelanjaan berkaitan.
“Namun, pulangan yang dijana menerusi jualan langsung serta limpahan ekonomi mampu mencecah sehingga tiga kali ganda daripada jumlah itu dan perkara ini boleh dipertimbangkan pada masa hadapan,” katanya.
Azhan Shafriman berkata, kerajaan ketika ini lebih memberi keutamaan kepada usaha membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, sekali gus menjadikan penganjuran F1 secara tetap belum menjadi fokus utama.
Beliau berkata, tumpuan SIC kini adalah memastikan penganjuran Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Sepang pada 2 hingga 4 Oktober depan berlangsung dengan lancar.






