
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020 dibuat pengelasan semula dan didedahkan hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan itu juga akan dibentangkan dan dibahaskan pada satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri hari ini telah diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan RCI mengenai TH dari 2014 hingga 2020.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada syor tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum, setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Jemaah Menteri turut mengambil maklum TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik.
“Jemaah Menteri memutuskan bahawa siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan, sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.






