
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju memperluas pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ke Selangor secara berperingkat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan melibatkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dibuat secara berfasa dengan pasukan petugas khas ditubuhkan.
“Ini adalah berita baik kepada warga Selangor. Kita akan mempertingkatkan lagi prestasi pengurusan sisa pepejal di negeri Selangor dan semua 12 PBT akan terlibat, tetapi pelaksanaannya dibuat secara berperingkat.
“Kita akan terus membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk merealisasikannya, supaya negeri Selangor sebagai antara lokomotif ekonomi negara kita dengan tahap pembersihan awamnya juga kena tahap taraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Prapelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di sini hari ini.
Nga berkata, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan Dasar Pembersihan Awam Negara, kerajaan MADANI tekad melaksanakan reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, pelaksanaan Akta 672 di Selangor juga dijangka menceriakan sambutan ulang tahun Jubli Perak Sultan Selangor pada tahun ini.
Selain itu, Nga berkata kenderaan kutipan sampah yang menggunakan bahan api fosil termasuk diesel, akan digantikan dengan kenderaan elektrik secara berperingkat.
Tambah beliau, kutipan sampah dan kerja-kerja pembersihan juga akan dilaksanakan pada waktu malam.
Sebelum ini, Akta 672 hanya diguna pakai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah, Perlis dan Pahang manakala Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Selangor tidak menerima pakai akta tersebut.






