
KUALA LUMPUR: Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam ketika dipercayai cuba meleraikan pergaduhan di Korea Selatan dijangka tiba di tanah air petang esok.
Adik mangsa, Ain Sephia berkata, keluarga sudah dimaklumkan jenazah Allahyarham dijangka tiba pukul 5 petang menerusi penerbangan Malaysia Airlines.
Menurutnya, sebaik tiba di Malaysia, jenazah akan dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri.
“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan serta membantu melancarkan urusan membawa pulang arwah.
“Kami memohon agar orang ramai terus mendoakan supaya segala urusan dipermudahkan sehingga arwah selamat disemadikan,” katanya seperti yang dilaporkan Awani.
Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan berkumpulan di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Mangsa yang bekerja dalam sektor perkilangan dan menetap di negara itu sejak 2019 disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah akibat tikaman di bahagian perut.
Difahamkan, Allahyarham datang ke lokasi kejadian bersama isterinya selepas menerima panggilan daripada seorang rakan senegara yang meminta bantuan susulan pergaduhan berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek yang menikam mangsa serta beberapa individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga merupakan rakyat Malaysia.
Berikutan kejadian itu, polis daerah Eumseong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan mengikut kes bunuh dan beberapa kesalahan lain, manakala beberapa individu lain yang dipercayai terbabit turut ditahan.






