
JOHOR BAHRU: Polis menahan sepasang kekasih yang juga pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang bayi perempuan yang ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, Kluang, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan pukul 1 petang selepas seorang pelajar wanita dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang kerana melahirkan anak.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati bayi perempuan itu ditemukan oleh tenaga pengajar di dalam mangkuk tandas rumah sewa berkenaan.
“Ketika pemeriksaan lanjut dijalankan di hospital, doktor mengesan seorang lagi bayi yang masih berada dalam kandungan pelajar wanita tersebut.
“Bayi itu yang dipercayai kembar kepada bayi yang meninggal dunia berjaya dilahirkan dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan teman lelaki remaja terbabit bagi membantu siasatan dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.
Katanya, bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian serta mengesahkan jumlah kesan tikaman yang terdapat pada tubuh mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan,” katanya.







