
NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand giat memburu lima individu yang dipercayai terbabit dalam serangan hendap di sebuah pusat pemeriksaan di Jalan Perbandaran Bukit Sami, subdaerah Tanjong Mas, daerah Ra-ngae di sini pada 22 Julai lalu.
Timbalan Jurucakap Markas Hadapan Wilayah 4, Pemerintahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Kolonel Ekwarit Chobchuphol berkata, kesemua suspek termasuk dua pemimpin kumpulan pemisah dipercayai kini bersembunyi di negara jiran.
Menurutnya, dua individu yang menjadi buruan utama ialah Nise Niha atau Nija yang dikaitkan dengan insiden Tak Bai pada 2004 serta Muhammad Baihadee Waheng yang dipercayai mengetuai operasi serangan pada Julai lalu.
“Tiga lagi suspek yang dikehendaki ialah Azmin Salame yang dipercayai terlibat dalam beberapa insiden termasuk pengeboman stesen kereta api, rompakan kedai emas dan serangan terhadap konvoi tentera.
“Mereka turut memburu Abdul Rahum Mayi yang dipercayai menyelaraskan serangan serta Azizan Madahae yang disyaki mengeluarkan arahan untuk melancarkan serangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati sebanyak 15 laras senjata api digunakan dalam serangan hendap berkenaan.
Katanya, semua senjata tersebut mempunyai rekod digunakan dalam sekurang-kurangnya 36 insiden keganasan yang berlaku di beberapa lokasi sebelum ini.
“Waran tangkap terhadap kelima-lima suspek telah dikeluarkan pada 24 Julai lalu dan usaha mengesan mereka sedang dipergiatkan,” katanya.







