
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan baki 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang masih belum dilaksanakan dengan mengambil kira kebijaksanaan, realiti semasa serta pelbagai pertimbangan berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang usaha penambahbaikan demi memastikan TH terus kekal sebagai institusi yang diyakini umat Islam.
Menurutnya, syor-syor yang dikemukakan RCI dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan lagi kecekapan pengurusan institusi tersebut.
“Masih banyak perkara yang perlu kita lakukan bagi memastikan institusi yang kita sayangi ini terus berkembang dan mencapai tahap lebih cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan RCI telah berjaya dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan yang lebih kukuh dalam aspek pengurusan deposit serta operasi haji.
Katanya, pencapaian itu turut menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa apabila TH menerima Diamond Award bagi pengurusan haji terbaik dunia untuk musim haji 1447H/2026M.
Mengulas syor supaya struktur tadbir urus TH disusun semula, Zulkifli berkata, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan cadangan tersebut termasuk pengasingan tanggungjawab berkaitan pengurusan kewangan, dana dan pelaburan di bawah Menteri Kewangan.
Beliau berkata, antara syor yang terkandung dalam Laporan RCI ialah mengehadkan bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada pengurusan ibadah haji.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman yang mengandungi pelbagai cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh institusi tersebut.
Zulkifli berkata, penganjuran MMKI penting bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai antara peneraju dunia dalam Indeks Ekonomi Islam.
Menurut beliau, muzakarah yang dipelopori Co-opbank Pertama itu menghimpunkan pakar kewangan, ahli akademik dan pemain industri untuk membincangkan isu semasa, menilai cabaran serta perkembangan ekonomi global, di samping merangka hala tuju sektor kewangan Islam negara.
“Muzakarah ini menjadi platform penting untuk pakar berkongsi pandangan dan dapatan baharu yang boleh dimanfaatkan oleh institusi kewangan Islam dalam membangunkan produk, instrumen serta penyelesaian yang lebih berkesan kepada masyarakat,” katanya.






