
JOHOR BAHRU: Jauh sebelum istilah diplomasi moden menjadi amalan negara, Johor terlebih dahulu mengukir hubungan istimewa dengan sebuah empayar Islam paling berpengaruh di dunia.
Dari kota Istanbul, pusat pemerintahan Empayar Uthmaniyyah, terjalin sebuah persahabatan yang bukan sahaja merapatkan dua institusi diraja malah mencorak masa depan Johor sebagai negeri Melayu paling moden pada zamannya.
Di sebalik hubungan itu berdiri dua tokoh besar dunia Islam, Sultan Abu Bakar yang dikenali sebagai Bapa Johor Moden dan Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir yang mempertahankan maruah Empayar Uthmaniyyah ketika dunia sedang bergelora.
Hubungan kedua-dua pemerintah itu melangkaui protokol diplomatik.
Bahkan, Sultan Abu Bakar beberapa kali berangkat ke Istanbul untuk bertemu Sultan Abdul Hamid II dalam membina kepercayaan serta persaudaraan yang akhirnya meletakkan Johor dalam kedudukan istimewa di mata dunia Islam.

Sebagai lambang penghormatan, Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi mengiktiraf gelaran Sultan Johor kepada Sultan Abu Bakar sekali gus mengukuhkan kedaulatan Johor di pentas antarabangsa.
Keakraban itu terus diperkukuh apabila Sultan Abu Bakar memperisterikan bangsawan Turki, Khadijah Hanum menjadikan hubungan Johor dan Uthmaniyyah bukan sekadar ikatan politik malah pertalian kekeluargaan antara dua institusi diraja.
Jejak hubungan bersejarah itu masih dapat dilihat sehingga hari ini.
Persamaan pada reka bentuk bendera serta lambang Johor dan Empayar Uthmaniyyah menjadi simbol kepada persahabatan erat yang pernah menghubungkan kedua-dua kerajaan Islam tersebut.
Namun, warisan paling besar yang dibawa pulang Sultan Abu Bakar dari Istanbul bukanlah sekadar kenangan tetapi sebuah gagasan pentadbiran moden.
Berinspirasikan sistem pemerintahan Empayar Uthmaniyyah yang tersusun, baginda menubuhkan tujuh jabatan utama bagi memperkukuhkan pentadbiran negeri.

Pembaharuan itu menjadi asas kepada transformasi Johor sebagai negeri yang memiliki sistem birokrasi moden, jauh mendahului banyak kerajaan Melayu ketika itu.
Kehebatan hubungan dua kerajaan Islam ini turut dipaparkan menerusi pelbagai artifak bersejarah yang menjadi saksi kegemilangan Empayar Uthmaniyyah.
Rentetan perjalanan sejarah berkenaan dapat dilihat apabila berkunjung ke reruai Galeri Aura Islam pada Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini.
Pekerja Galeri Aura Islam, Mohamad Haikal Mashairul Nizam berkata, reruai pameran berkenaan amat bertepatan dengan tema Hari Muzium Antarabangsa 2026, Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah (Museums Uniting a Divided World).
Dia memberitahu, antara paling mencuri perhatian pada reruai berkenaan ialah Kiswah Kaabah Balat Taubah bertarikh 1299 Hijrah yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

“Selain itu, para pengunjung berpeluang meilhat pedang milik Sultan Abdul Hamid II yang digunakan ketika baginda masih kanak-kanak.
“Pedang bersejarah itu dikaitkan dengan legasi agung Sultan Muhammad Al-Fateh, penakluk Konstantinopel yang mencipta sejarah apabila berjaya membuka kota kebal itu pada usia hanya 21 tahun sekali gus mengubah landskap tamadun dunia,” ujarnya.
Dia menambah, para pengunjung juga berpeluang menyaksikan Kunci Pintu Kaabah bertarikh 1309 Hijrah, antara khazanah dihasilkan pada penghujung era pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.
Mohamad Haikal berkata, baju perang tentera Uthmaniyyah yang diperbuat daripada besi dengan berat sekitar 27.5 kilogram turut dibawa pada festival tersebut.

“Kelengkapan berkenaan menggambarkan kehebatan ketenteraan empayar yang pernah menguasai tiga benua selama lebih enam abad,” katanya.
Lebih daripada sekadar himpunan artifak, pameran ini membawa pengunjung menelusuri kisah persahabatan dua pemerintah yang merentasi sempadan geografi dan budaya.
Hubungan Johor dengan Empayar Uthmaniyyah akhirnya menjadi bukti bahawa persahabatan yang diasaskan atas rasa saling menghormati mampu meninggalkan legasi merentasi zaman dan generasi.




