
PONTIAN: Siapa sangka di sebalik imej seorang pemimpin politik, tersimpan bakat terpendam mengendalikan kuali di dapur dengan cukup bersahaja.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan membuktikannya apabila mencuri perhatian pengunjung menerusi demonstrasi masakan NGAM ataupun Nasi Goreng Ahmad Maslan.
Bakat terpendam Timbalan Menteri Kerja Raya itu memeriahkan suasana reruai Warung Warisan pada program Muzium Bersama Komuniti: Meh La Pontian sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026.
“Saya sangat berbesar hati dan terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Yayasan Warisan Johor dan semua yang terlibat kerana memilih kawasan Tampok Laut menjadi tapak untuk program peringkat kebangsaan.
“Bahkan, semua agensi terlibat sangat membantu dalam meningkatkan promosi terhadap makanan yang begitu unik untuk diketengahkan kepada para pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Muzium Bersama Komuniti: Meh La Pontian di di Pusat Rekreasi Tampok Laut, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Ahmad menambah, pada program berkenaan, terdapat pelbagai aktiviti yang dilaksanakan termasuk pertandingan sajian tradisi Johor iaitu Bungkus Burasak dan Lepat Loi malah segmen istimewa beliau memasak NGAM.
Katanya, terdapat pelbagai gastronomi Johor yang cukup menarik seperti Burasak dan Lepat Loi di Pontian menjadi makanan yang cukup signifikan.

“Semua daerah di negeri Johor mempunyai signatur makanan tersendiri yang mampu mengangkat sebagai produk pelancongan.
“Kita akan terus menjadikan kawasan Tampok Laut ini sebagai lokasi tumpuan dan produk pelancongan untuk Parlimen Pontian,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, penganjuran program secara kolaboratif seperti Program Muzium Bersama Komuniti: Meh La Pontian membuktikan perpaduan dapat dipupuk melalui pendekatan yang dekat dengan rakyat, berasaskan warisan sejarah dan budaya yang dikongsi bersama.

“Muzium memainkan peranan signifikan sebagai agen penyatuan masyarakat.
“Selain menjadi pusat pembelajaran dan perkongsian ilmu, pendekatan “muzium bersama komuniti” dapat merakyatkan institusi permuziuman.
“Ia juga dapat memupuk rasa kepunyaan terhadap warisan negara serta memperkukuh hubungan antara muzium dan masyarakat dalam usaha memelihara sejarah, budaya dan identiti bangsa untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berharap agar program seumpama itu akan terus diperkasakan dan diperluaskan ke seluruh negara.
Katanya, program berkenaan dapat menjadi platform untuk menyemai semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta memastikan warisan sejarah dan budaya negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.




