
JOHOR BAHRU: Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang melabuhkan tirai semalam menampilkan Muzium Penjara Malaysia, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muzium Tentera Darat (MTD) dan Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Reruai empat pameran berkenaan membawa pengunjung menyelami sejarah, evolusi serta peranan institusi keselamatan negara.
Ia mengetengahkan naratif dalam mempertahankan keamanan, membina perpaduan dan memberi inspirasi kepada masyarakat.

Menerusi koleksi artifak, aset bersejarah dan naratif yang dipamerkan, setiap reruai bukan sahaja mengimbau perjalanan institusi masing-masing malah mengangkat nilai kemanusiaan, patriotisme serta peluang kedua sebagai asas membina sebuah negara bangsa yang lebih kukuh.
Sarjan Penjara, Mohammed Niezam berkata, pameran Dari Tirai Besi Menginspirasikan Harapan: Pemulihan Demi Bangsa dan Perpaduan Negara oleh Muzium Penjara Malaysia menyingkap realiti kehidupan di sebalik tembok penjara.
“Ia merupakan satu dimensi yang sering disalah erti oleh masyarakat sebagai titik pengakhiran dan tempat pengasingan mutlak.
“Melalui pameran ini, persepsi tersebut diolah semula dengan menonjolkan penjara bukan sekadar tempat hukuman (punitif) tetapi sebagai sebuah institusi pemulihan (korektif) yang menerbitkan peluang kedua,” katanya.

Dia memberitahu, antara bahan pameran yang dapat dilihat pengunjung adalah evolusi sel penjara dari tahun 1920, 1960 sehingga hari ini.
Katanya, terdapat juga artifak-artifak lama yang dibawa khas untuk tatapan pengunjung seperti penerimaan dan pendaftaran banduan.
“Para pengunjung akan dapat melihat kamera lama, lensa, bahan-bahan kimia, pemotong kertas dan bilik gelap menunjukkan proses merakam gambar banduan sebelum menjadi penghuni penjara.
“Pada pameran ini, para pengunjung juga akan melihat gari lama yang digunakan pada zaman Britain dahulu dan fail penerimaan banduan pada tahun 1957 serta tempat menyimpan kad-kad para banduan di hadapan pintu sel,” ujarnya.

Dia menjelaskan, reruai Muzium Penjara Malaysia berdiri sebagai seruan kepada masyarakat untuk bersama-sama membuang stigma negatif dan memupuk sifat empati.
Katanya, pameran tersebut menegaskan bahawa penyatuan sebenar sesebuah negara bangsa bermula dengan kemaafan, penerimaan dan sokongan berterusan.

Dalam pada itu, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa tema Menyelusuri Garis Masa Transformasi Polis Diraja Malaysia menyingkap perjalanan panjang dan transformasi pasukan beruniform berkenaan dalam menjaga keamanan serta ketenteraman negara.
Jurucakap Muzium PDRM, Sabidayul Fajar berkata, reruai pameran berkenaan mempertontonkan transformasi sejarah awal dan pemodenan PDRM.
“Melalui pameran ini, para pengunjung dapat pendedahan mengenai evolusi pakaian seragam PDRM dari era kolonial sehingga era moden hari ini.
“Sebagai contoh, mereka akan mengetahui mengenai pakaian seragam polis pada tahun 1948 apabila lahir Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu hasil gabungan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Melayu Bersekutu dan Melayu Tidak Bersekutu,” katanya.

Dia menambah, terdapat juga tongkat Polis Diraja Persekutuan, aksesori pakaian Polis Diraja Persekutuan, aksesori pakaian polis Johor, buku panduan polis dan aksesori pakaian Sarawak Constabulary.
Selain itu, dia berkata, pengunjung dapat mengenali bullet pouch, holster pistol, self loading rifle L1A1 7.62 MM, rifle .3032N No 1 MK III yang dibikin kilang Royal Small Arms, Britain.

Muzium Tentera Darat (MTD) pula tampil dengan tema Kemahuan Untuk Menang dalam transformasi TD untuk membina angkatan tentera yang sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran masa depan yang kompleks.
Pameran tersebut menampilkan pelbagai aset dan naratif perjuangan Tentera Darat (TD) semasa Peperangan Dunia Kedua dan wira perang yang gugur semasa mempertahankan negara.

Pameran tersebut sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami peranan penting TD dalam memastikan keselamatan negara dan menghargai pengorbanan serta komitmen warga tentera dalam mempertahankan keamanan tanah air.
Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia pula menonjolkan peranan penting mempertahankan ruang udara negara melalui tema Guardian of Sovereign Skies.
Melalui koleksi pameran dan bahan interpretasi yang disediakan, orang ramai dapat memahami bagaimana penguasaan ruang udara menjadi elemen penting dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.





