
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) akan melaksanakan program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) kategori domestik mulai Julai ini.
PETRA dalam kenyataan berkata, pengguna boleh menikmati rebat sebanyak RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga melalui pelaksanaan program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA).
“Kerajaan memperuntukkan sejumlah 160,000 unit rebat bernilai RM32 juta bagi pelaksanaan program ini.
“Pelaksanaan program berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi cabaran krisis bekalan.
“Ia berikutan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global akibat konflik geopolitik di Asia Barat,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, PETRA menjelaskan, inisiatif tersebut juga merealisasikan agenda peralihan tenaga negara.
“Pelaksanaan program NUR@PETRA Domestik bertujuan menggalakkan penggunaan domestik beralih kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga khususnya penyaman udara dan peti sejuk.
“Inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengurangkan kos bil elektrik isi rumah serta memupuk amalan penggunaan tenaga yang lebih lestari dalam kalangan rakyat,” katanya.
PETRA menambah, pengguna domestik yang layak boleh menikmati rebat RM200 itu untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai label kecekapan tenaga 4 atau 5 bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commision of Sabah (ECoS).
Katanya, permohonan rebat bagi kategori domestik akan dibuka bermula 1 Julai ini.
“Pelaksanaan program NUR@PETRA Domestik dijangka menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh) bersamaan penjimatan kos sebanyak RM250.72 juta bagi tempoh lima tahun.
“Program ini juga dijangka menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan CO2eq, tertakluk kepada jangka hayat dan tahap kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, program NUR@PETRA Domestik merupakan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap dan mampan sekali gus menyokong kesejahteraan rakyat, pembangunan rendah karbon dan kemampanan sumber tenaga negara,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model peralatan elektrik cekap tenaga di bawah program NUR@PETRA 2026 boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang rasmi SEDA Malaysia di www.seda.gov.my/nur




