
JOHOR BAHRU: Menjejakkan kaki ke reruai Yayasan Warisan Johor di Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 seolah-olah membawa pengunjung mengembara merentasi sejarah, budaya dan identiti negeri Johor dalam satu pengalaman yang menyeronokkan.
Berinspirasikan seni bina ikonik Menara Jam di Dataran Bandaraya Johor Bahru, reruai bertemakan Bangsa Johor itu bukan sekadar mempamerkan bahan sejarah malah mengajak pengunjung memahami falsafah yang membentuk identiti rakyat negeri ini melalui pendekatan interaktif.
Sebaik melangkah masuk, pengunjung diperkenalkan dengan pengertian Bangsa Johor sebelum dibawa menyusuri perjalanan sejarah Johor, pembentukan Johor Moden serta pelbagai pencapaian yang menjadi kebanggaan negeri.
Antara tarikan utama ialah hamparan peta Johor yang memaparkan kesemua 10 daerah bersama bendera rasmi setiap daerah.

Pembantu Muzium Yayasan Warisan Johor, Ummu Syafiqah Rambli berkata, melalui aktiviti Jom Kenali Johor, pengunjung dapat mengenali setiap daerah di negeri Johor berdasarkan bendera dan simbol ikoniknya.
“Sebagai contoh, Pontian dikenali dengan nanas, Segamat pula terkenal sebagai daerah durian, manakala Gunung Ledang yang sering disangka berada di Muar sebenarnya terletak di daerah Tangkak.
“Pendekatan berbentuk permainan itu bukan sahaja mencetuskan keterujaan, malah membantu pengunjung mengenali keunikan dan bendera setiap daerah dengan lebih mudah,” katanya.
Dia memberitahu, segmen Kriteria Bangsa Johor pula menggunakan konsep silang kata (crossword puzzle).
Melalui permainan ringkas itu, katanya, pengunjung dapat memahami nilai yang menjadi asas pembentukan Bangsa Johor seperti beragama,berilmu dan sebagainya.

“Ruang khas turut disediakan bagi memperkenalkan Lagu Bangsa Johor termasuk sejarah penghasilannya.
“Pengunjung berpeluang mengetahui bahawa lagu berkenaan pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Kapten H.M. Said H. Sulieman.
“Pengunjung juga dapat melihat frasa “Luaskan Kuasa” yang sememangnya telah lama terkandung dalam lagu tersebut dan bukannya ditambah pada masa kini,” katanya.
Selepas memahami sejarah Bangsa Johor, Ummu Syafiqah berkata, pengunjung dibawa pula menelusuri wajah Johor Moden yang memperlihatkan pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor.
Dia menambah, tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, reruai berkenaan turut mengangkat kekayaan budaya masyarakat Johor yang mencerminkan semangat perpaduan.
“Pelbagai aspek dipamerkan termasuk sajian warisan, ekonomi, tarian, sukan serta busana tradisional masyarakat berbilang kaum.
“Sajian warisan yang diketengahkan pula, merangkumi makanan tradisional masyarakat Melayu, Cina, India serta Orang Asli sekali gus menggambarkan bahawa identiti Bangsa Johor dibina atas asas keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Dia menjelaskan, pengunjung berpeluang mengenali pakaian tradisional seperti Teluk Belanga dan Baju Kurung Johor bagi masyarakat Melayu, sari dan dhoti bagi masyarakat India, cheongsam serta samfu bagi masyarakat Cina malah pakaian tradisional masyarakat Orang Asli Seletar yang menjadi antara warisan unik Johor.
Katanya, hampir keseluruhan kandungan reruai Yayasan Warisan Johor disampaikan melalui konsep permainan, kuiz dan aktiviti interaktif.
“Pendekatan ini berjaya menarik perhatian bukan sahaja kanak-kanak malah golongan belia, ibu bapa dan warga emas yang dilihat begitu teruja menyertai setiap aktiviti,” ujarnya.
Melalui konsep santai tetapi sarat dengan pengisian, reruai Bangsa Johor membuktikan bahawa sejarah dan warisan tidak semestinya dipelajari melalui pameran statik.
Ia boleh dihayati menerusi pengalaman yang menghiburkan sekali gus menyemai rasa bangga terhadap identiti Bangsa Johor dalam kalangan generasi masa kini.




