
LONDON: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan negara juara Piala Dunia 2026 bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah AS$50 juta (RM204.6 juta), meskipun pertikaian berhubung harga tiket kejohanan itu terus memuncak.
Pengesahan itu dibuat selepas Majlis FIFA meluluskan jumlah dana keseluruhan sebanyak AS$727 juta (RM3 bilion) untuk diagihkan kepada negara-negara bertanding, meningkat 50 peratus berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
Menurut FIFA, setiap negara yang layak ke kejohanan itu akan menerima AS$1.5 juta (RM6.13 juta) bagi menampung kos persediaan, selain sekurang-kurangnya AS$9 juta (RM37 juta) kerana beraksi di peringkat kumpulan.
Pengumuman tersebut dibuat ketika masyarakat dunia mengkritik pelarasan harga tiket yang disifatkan sebagai tidak munasabah dan hanya menguntungkan segelintir penyokong.
FIFA sebelum ini memaklumkan tiket berharga AS$60 (RM245) akan ditawarkan menerusi kuota khas yang dijual oleh persatuan kebangsaan kepada penyokong paling setia, namun hanya 10 peratus daripada kuota itu tersedia pada harga berkenaan.
Sebagai contoh, bagi perlawanan antara England dan Croatia, hanya kira-kira 400 daripada lebih 4,000 penyokong layak memperoleh tiket pada harga rendah tersebut, manakala selebihnya terpaksa membayar harga bermula AS$230 (RM941).
Harga tiket dijangka meningkat sehingga AS$4,185 (RM17,121) bagi perlawanan akhir, sekali gus mencetuskan dakwaan langkah itu sekadar strategi perhubungan awam FIFA untuk meredakan kritikan.







