KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan 41 pengamal media pada Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 (AMP 2025) semalam.
Pengiktirafan itu diberikan kepada pengamal media yang berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap dasar serta inisiatif kerajaan berkaitan industri pembinaan negara.
AMP 2025 merupakan penganjuran kali kelapan dianjurkan CIDB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR).
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sempena Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya.
Anugerah Media Pembinaan bertujuan menggalakkan penghasilan laporan dan liputan kewartawanan berkualiti berkaitan industri pembinaan, termasuk isu keselamatan tapak binaan, kelestarian alam sekitar, penerapan teknologi baharu serta pembangunan modal insan.
Bagi kategori Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Laporan Berita Khas), anugerah dimenangi oleh Noor Syahhira Hady dari New Sarawak Tribune menerusi laporan berkaitan bangunan hijau, kelestarian bandar dan pembangunan kemahiran sektor pembinaan di Sarawak.
Kategori Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Rencana) pula dimenangi Mohd Ghazali Alias dari Kosmo! menerusi rencana bertajuk Penakluk Puncak Menara, Cabaran Membersih ‘Tangan’ Tunku Abdul Rahman.
Bagi kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Laporan Khas dan Dokumentari), kemenangan diraih oleh Iswadiman Dominikus dan Norhalim Mohammed dari RTM Sabah, manakala Anugerah Media Penyiaran Radio dimenangi Nor Ain Abu Bakar dari RTM Perak.
Anugerah Fotografi disandang oleh Mohd Faihan Mohd Ghani dari The Star, manakala Anugerah Infografik (Pegun) dimenangi Tung Eng Hwa, Muhammad Hafeez Aminuddin, Foo Chern Hwan dan Muhammad Shyafiq Dzulkifli. Anugerah Infografik (Video) pula diberikan secara merit kepada The Star dan Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Alexander memberi komitmen meneruskan penganjuran anugerah tersebut pada tahun hadapan sebagai platform menghargai sumbangan pengamal media dalam memartabatkan industri pembinaan negara.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya menyatakan aplikasi MyJalan yang dilancarkan sebagai platform aduan awam berkaitan jalan rosak dan berlubang terus menerima sambutan menggalakkan apabila sebanyak 5,440 aduan direkodkan setakat 30 November lalu.
Katanya, sebanyak 1,435 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan KKR, manakala baki 4,005 aduan melibatkan jalan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa lain.
Beliau berkata, menerusi Belanjawan 2024, KKR menerima peruntukan RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dan jambatan di laluan Jalan Persekutuan, selari dengan usaha memperkasakan pelaksanaan Kempen MyJalan KKR.
Mengulas usaha pendigitalan sektor pembinaan, Alexander berkata KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) menyasarkan 50 peratus projek bernilai RM10 juta ke atas dilaksanakan menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM).
Katanya, penggunaan teknologi BIM dan Industrialised Building System (IBS) turut diperluaskan kepada projek perumahan awam dan swasta, khususnya membabitkan pembangunan perbandaran baharu.
Beliau turut memaklumkan inovasi teknologi iSupervision JKR yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kini digunakan di empat projek hospital, sekali gus membolehkan pemantauan berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dilaksanakan dengan lebih cekap tanpa kaedah manual.
Selain itu, kaedah ‘Tongue and Groove Shaped Concrete Drain’ digunakan di 35 projek JKR terutama di Pantai Timur, manakala pemasangan lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) sedang diperluaskan di persimpangan terpilih di seluruh negara.
