
KUALA LUMPUR: Jemaah umrah yang menunaikan ibadah pada musim sejuk disaran memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dan kecergasan bagi memastikan kelancaran ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memaklumkan, suhu di Mekah dan Madinah yang boleh mencecah sekitar lapan hingga 18 darjah celsius berpotensi menjejaskan tahap kesihatan jemaah, khususnya warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
“Jemaah dinasihatkan mengambil langkah pencegahan termasuk berpakaian sesuai, menjaga pengambilan nutrisi dan cecair, selain memastikan rehat mencukupi bagi mengekalkan tahap tenaga ketika melaksanakan ibadah.
“Mereka turut digalakkan mengambil makanan berkhasiat, berehat secukupnya dan mendapatkan suntikan serta bekalan ubat asas sebelum berlepas sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Menurut Andalusia, jemaah digalakkan kekal aktif dengan melakukan pergerakan ringan dan senaman regangan bagi membantu peredaran darah serta mengurangkan risiko keletihan dan kecederaan.
“Langkah penjagaan kendiri yang berdisiplin diyakini dapat membantu jemaah kekal sihat dan aktif, sekali gus memaksimumkan pengalaman ibadah sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Sementara itu, Andalusia telah melancarkan Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) yang menawarkan peluang menunaikan umrah secara percuma melalui cabutan bertuah mingguan.
Antara hadiah utama termasuk sebuah kereta, dua motosikal serta pelbagai hadiah lain dengan nilai keseluruhan melebihi RM500,000.
Cabutan bertuah tersebut diadakan setiap Sabtu sepanjang Karnival JIMBA dan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi @jimba_andalusia.







