KUALA LUMPUR: Seramai 8,945 mangsa banjir daripada 2,837 keluarga kini ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat pukul 7 pagi ini.
Berdasarkan data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa melibatkan 2,865 orang dewasa termasuk 816 warga emas dan 296 orang kurang upaya (OKU), selain 2,905 kanak-kanak serta 288 bayi.
Pahang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 8,148 orang daripada 2,618 keluarga berlindung di 69 PPS yang dibuka di lima daerah iaitu Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Cameron Highlands.
Johor mencatatkan seramai 347 mangsa daripada 90 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Mersing, manakala Terengganu mengaktifkan 11 PPS di Dungun dan Kemaman yang menempatkan 385 mangsa daripada 118 keluarga.
Di Selangor, seramai 47 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Gombak, manakala Sarawak merekodkan 18 mangsa daripada tiga keluarga yang berlindung di dua PPS di Miri.
Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air di sembilan stesen di Pahang, Terengganu, Johor dan Sarawak berada pada tahap bahaya.
Di Pahang, dua stesen merekodkan paras air berbahaya iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.
Terengganu pula mencatatkan lima stesen pada paras bahaya melibatkan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih dan Rumah Pam Paya Paman, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Sungai Besut di Jambatan Keruak serta Sungai Berang di Kampung Menerong.
Satu stesen di Johor iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat dan dua stesen di Sarawak membabitkan Long Teru serta Marudi di Miri turut merekodkan paras air pada tahap bahaya.
