
KUALA LUMPUR: Tiada tempoh ‘bulan madu’ diberikan kepada anggota Kabinet baharu yang dilantik atau bertukar portfolio diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam.
Beliau berkata, sebahagian besar menteri telah sedia maklum mengenai urusan pentadbiran kementerian masing-masing manakala bagi mereka yang baharu menyertai pentadbiran, sedikit masa diperlukan untuk memahami selok-belok pengurusan.
“Saya percaya Perdana Menteri akan memantau perkara ini melalui Jemaah Menteri bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dapat ditangani dengan segera,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Fahmi berkata, satu pemukiman Jemaah Menteri dijangka diadakan pada Januari depan bagi memperjelas hala tuju, objektif dan matlamat kerajaan selain menegaskan perkara-perkara utama yang perlu difahami semua anggota Kabinet sebagai persediaan menghadapi tahun 2026.
Beliau berkata, Perdana Menteri mengalu-alukan pelantikan semua menteri baharu sambil mengingatkan mereka supaya meneliti dan memahami secara mendalam aspek pengurusan kementerian serta dasar yang sedang dirangka sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, Perdana Menteri turut menasihatkan menteri baharu agar tidak membuat keputusan dalam tempoh terlalu singkat, sebaliknya memberi ruang kepada pegawai dan penjawat awam mengemukakan pandangan serta input berkaitan.





