
KUALA LUMPUR: Pemandu perkhidmatan e-hailing yang merekodkan jarak perjalanan bulanan kurang daripada 2,000 kilometer (km) tidak layak menerima kuota tambahan subsidi petrol di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi bulan berikutnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kelayakan subsidi ditentukan berdasarkan jarak perjalanan perkhidmatan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi bulan terdahulu.
Katanya, pemandu yang mencatat perjalanan tidak melebihi 2,000km sebulan hanya layak menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter petrol, manakala pemandu yang merekodkan perjalanan antara 2,000 km hingga 5,000 km layak menerima tambahan 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter sebulan.
“Bagi pemandu yang mencatat perjalanan melebihi 5,000km sebulan pula, mereka layak menerima tambahan 500 liter, menjadikan siling kelayakan maksimum sehingga 800 liter,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. R.A. Lingeshwaran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Amir Hamzah berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemandu atau EHO yang didapati mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem, bagi mengelakkan ketirisan subsidi.
Katanya, pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar itu bertujuan memastikan subsidi hanya disalurkan kepada pemandu e-hailing yang benar-benar aktif dan bergantung kepada perkhidmatan tersebut sebagai sumber pendapatan utama.
Setakat Disember ini, beliau memberitahu, daripada 164,000 pemandu e-hailing berdaftar, lebih 106,000 orang atau 65 peratus layak menikmati siling BUDI95 sekurang-kurangnya antara 600 hingga 800 liter sebulan.
Jelasnya, pengesahan data perjalanan bulanan pemandu dilaksanakan melalui penggabungan data semua EHO dan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
Katanya, hanya pemandu warganegara yang memiliki lesen PSV dan permit e-hailing sah dipertimbangkan.





