
PUTRAJAYA: Dana pembiayaan bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan ditingkatkan daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, langkah itu bertujuan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi merentas kaum.
“Pembiayaan untuk usahawan India melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta pada 2026, manakala satu skim baharu pembiayaan PMKS masyarakat Cina sebanyak RM50 juta akan dilancar pada Januari 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi mendengar taklimat pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada hari pertama mengemudi kementerian itu hari ini.
Sim berkata, moratorium enam bulan tanpa faedah juga akan diberikan kepada PMKS dan koperasi terjejas akibat banjir merangkumi pinjaman daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP.
Beliau menambah, ia termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Terdahulu, beliau tiba di bangunan KUSKOP kira-kira 9.10 pagi dan disambut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin yang juga lantikan baharu dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Katanya, KUSKOP telah mendapat mandat penting daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat melalui pemerkasaan perusahaan PMKS dan gerakan koperasi.
“Hari ini, saya telah menggariskan satu strategi bagi memfokuskan usaha warga KUSKOP bagi mencapai mandat mengemudi pertumbuhan perniagaan Malaysia mengikut strategi ABCD.
“Ia merangkumi anjakan produktiviti, birokrasi dipermudah, capaian modal dan daya akses pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan isu pertukaran portfolionya tidak seharusnya dilihat sebagai penurunan pangkat tetapi tumpuan kini adalah untuk terus memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi negara.







