
KUALA LUMPUR: Pengisian program Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 merangkumi tujuh acara utama bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, antara yang dirancang ialah Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) dan Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan ASEAN (AHCDIS).
Ia juga termasuk program Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ATMC) serta Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN.
“Kami juga merancang Forum Mennteri Tenaga Manusia ASEAN bagi Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD), Pameran Persidangan Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 dan kemuncaknya, Forum Kemahiran Global (GSF).
“Kita berkumpul hari ini bukan sahaja untuk memperingati satu deklarasi serantau tetapi bagi menandakan permulaan satu perjalanan kerjasama ke arah membina tenaga kerja ASEAN yang lebih berkemahiran tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang diadakan di Nexus Bangsar South di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.
Inisiatif pembangunan modal insan serantau yang diterajui KESUMA melalui HRD Corp telah merancang pelbagai aktiviti selama tempoh setahun melibatkan pembabitan semua anggota ASEAN untuk memperkasa bakat dan tenaga kerja serantau.
AYOS 2025 disusun dengan teliti yang melibatkan banyak aktiviti pembangunan kemahiran dan latihan pembelajaran sepanjang hayat di seluruh rantau ini secara terbuka disertai individu daripada semua latar belakang.
“Bertemakan ‘Merapatkan Bakat, Membina ASEAN’, AYOS 2025 turut mendapat kerjasama daripada Sektretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi rantau Asia Pasifik dengan bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja,” katanya.
Dalam majlis itu juga turut diperkenalkan koordinator setiap negara ASEAN yang mengambil bahagian seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Laos, Vietnam, Timor Leste, Filipina dan Myammar.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai AYOS 2025, orang ramai boleh layari portal rasmi iaitu https://aseanyearofskills.org.






