
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah berhubung pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menerusi satu kenyataan, Anwar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara sambil mengenang momen terakhir beliau menziarahi Tun Abdullah yang ketika itu dalam keadaan uzur.
“Masih segar di ingatan saya saat kali terakhir menziarahi beliau.
“Walaupun keadaannya sangat uzur, sinar kasih dan sikap damai tetap terpancar dari matanya yang kabur.
“Sentuhan tangan beliau seolah-olah menyampaikan ketenangan yang mendalam,” kata beliau.
Menurut Anwar, dalam dunia politik yang sering bergolak dan mencabar, Tun Abdullah yang mesra digelar Pak Lah kekal sebagai sosok yang menenangkan dan bersikap terbuka walaupun pernah berbeza pandangan politik.
“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan. Itulah jiwa besar seorang negarawan ulung.
“Pak Lah tidak hanya seorang pemimpin, tetapi insan yang membawa naratif baru dalam politik kekuasaan negara ini,” kata Anwar.
Mengimbas sumbangan besar Allahyarham, Anwar menekankan bagaimana pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan telah menghubungkan kemajuan dan pembangunan dengan nilai-nilai murni.
Katanya, di bawah kepemimpinan Tun Abdullah, negara menyaksikan reformasi dalam sistem kehakiman, peningkatan ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi awam.
“Beliau memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam, selain menumpukan kepada pembangunan insan serta luar bandar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan,” ujarnya.
Menurut Anwar, yang paling dikenang bukanlah semata-mata pencapaian dasar, tetapi sifat kemanusiaan Tun Abdullah dalam memimpin.
“Pak Lah memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi walau diasak.
“Dalam waktu saya sendiri melalui kesukaran hidup, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista,” jelas Anwar.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, menantu Khairy Jamaluddin serta seluruh keluarga besar Allahyarham.
“Seluruh negara bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicara beliau,” katanya.
Anwar mengakhiri kenyataannya dengan mendoakan gar roh Allahyarham dikurniakan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh.
Allahyarham Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam.