Ekonomi

Go Bazar inisiatif Ramadan Go Eat

KUALA LUMPUR 6 April – Seiring dengan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, aplikasi perkhidmatan penghantaran makanan, Go Eat, tampil dengan inisiatif Go Bazar.

Inisiatif tersebut sebagai platform para usahawan dan peniaga meneruskan mata pencarian mereka khususnya menjelang Ramadan ini.

Go Bazar diperkenalkan susulan pengumuman kerajaan negeri seperti Kedah, Selangor, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan membatalkan penganjuran Bazar Ramadan sebagai usaha sejagat ‘memerangi’ wabak Covid-19.

Oleh yang demikian, inisiatif berkenaan diambil demi membantu golongan-golongan berpendapatan kecil dan sederhana, khususnya B40, agar tidak dibebani tatkala punca pendapatan mereka terjejas teruk.

Menerusi sesi Soal Jawab di Facebook Live, Pengarah Eksekutif dan Pengasas Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman memaklumkan, Go Bazar akan beroperasi sepenuhnya sebelum bulan Ramadan.

KHAIRIL MUZAMIL ABDUL RAHMAN

Malah beliau berkata, Go Eat menyasarkan operasi ke seluruh negara mengikut kadar kapasiti yang mampu ditanggung oleh tenaga kerjanya.

Go Bazar merupakan platform digital untuk urusan jual beli makanan secara dalam talian bagi menggantikan Bazar Ramadan tradisional.

Modus operandi platform itu menggunakan transaksi pembayaran dalam talian atau lebih dikenali sebagai ‘cashless transaction’ bagi memastikan usaha Kementerian Kesihatan untuk menghentikan rantaian Covid-19 terlaksana.

Setiap pesanan makanan boleh dibuat melalui telefon pintar menggunakan aplikasi Go Eat.

Demi membantu mereka yang terjejas dan menghadapi krisis kewangan serta ekonomi keluarga, seluruh warga kerja Go Eat telah menggembleng sepenuh tenaga dan usaha dalam merealisasikan Go Bazar.

Keprihatinan orang ramai untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada syarikat anak tempatan ini adalah amat dihargai bagi membolehkan hasrat untuk mengembangkan empayar Go Eat ke seluruh negara tercapai.

Para peniaga yang berminat untuk menyertai Go Bazar boleh mendaftar di laman sesawang Go Eat di www.go-eat.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *