
KUALA LUMPUR 9 April – Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Rynn Lim menghasilkan sebuah lagu berjudul Wira Hatiku sebagai tanda penghormatan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan wabak Covid-19.
Jelas Rynn, hal demikian kerana mereka telah mengorbankan masa dan bekerja keras bagi memastikan negara bebas daripada wabak tersebut.
“Bukan senang mereka menjalankan tugas. Usaha dan jasa mereka memberi saya ilham untuk menulis lirik lagu dan merakamnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka. Ini mesej saya nak kongsikan dengan semua,” katanya.
Sejak dimuat naik ke Facebook, video tersebut telah mendapat perhatian ramai.
Rynn memulakan kerjaya seninya pada 2002 dan mula dikenali apabila lagu-lagu hits ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi Hong Kong, Singapura, Taiwan dan China seperti JJ Lin, Coco Lee, Gigi Leung Wing Kei, Andy Hui dan Jordan Chan.
Bakatnya dalam mencipta lagu-lagu popular membolehkannya menempa nama sebagai komposer dan pencipta lagu.
Rynn memperluaskan bakatnya melalui album sulung berjudul 1st, secara tidak langsung membuka peluang keemasan kepadanya untuk melebarkan sayap seni hingga berjaya memenangi anugerah bagi kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) pada majlis berprestij The 17th Taiwan Golden Melody Awards.
Ini sekali gus menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama meraih gelaran itu.
Pada 2007, Rynn bergabung tenaga dengan Datuk Sheila Majid menghasilkan lagu duet berjudul Melodi.
Lagu tersebut dimuatkan dalam album kedua Rynn dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
“Saya berbesar hati kerana dapat menyanyi bersama Kak Sheila. Saya amat menghargai peluang itu,” jelasnya.
WIRA HATIKU
Lirik/Lagu/Komposer: Rynn Lim
Biarpun takut
Risau terlalu
Tahan airmata
Keluarga dirindu
Siang dan malam
Di hadapanku
Kau tetap berjuang melindungiku
Terima kasih
Terima kasih
Terima kasih Oh pengorbananmu
Terima kasih
Terima kasih
Oh kaulah wira hatiku
Pembela nasibku
Sihat selalu
Doa untukmu
Sokonganku padamu
Setiap waktu
Ku menunggu kepulanganmu
Pulang dengan tepukan gemuruh