Megah Port Management ambil alih Terminal Labuan Liberty
KUALA LUMPUR 2 April – Megah Port Management Sdn. Bhd. secara rasmi mengambil alih pengurusan Terminal Labuan Liberty untuk tempoh enam tahun akan datang.
Pengambilalihan tersebut bermula semalam bagi mengendalikan pengurusan operasi dan kemudahan pelabuhan tersebut.
Berikutan itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan di pelabuhan berkenaan.
Megah Port Management memaklumkan, antara kerja-kerja yang perlu dilaksanakan termasuk meningkatkan sistem keselamatan kebakaran, mengukuhkan kemudahan kargo dan infrastuktur di Pelabuhan Labuan.
“Fasiliti tersebut belum pernah diperbaiki dalam tempoh 20 tahun yang lalu, oleh itu suntikan dana baharu diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusannya,” jelas pengendali pelabuhan tersebut.
Kontrak perkhidmatan pengurusan pelabuhan akan dilaksanakan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd., dengan 51 kepentingannya dikuasai oleh Straits Inter Logistics Bhd. manakala LPM Holdings Sdn. Bhd. menguasai 49 peratus.
Kontrak itu telah diberikan kepada Straits Inter Logistics pada Januari lalu dan perjanjian bagi menjalankan operasi serta pengurusan fasiliti tersebut dilaksanakan bulan lepas.
Megah Port Management menambah, Pelan Pembangunan Labuan 2030 telah dilancarkan pada Januari 2018 untuk memacu tranformasi Labuan ke arah bandar pintar dan mapan.
Salah satu daripada pelannya adalah mengukuhkan logistik pulau tersebut menerusi peningkatan kemudahan kargo dan infrastruktur.
Inisiatif tersebut boleh membantu untuk mencipta permintaan perkhidmatan pengurusan pelabuhan bagi memudahkan kelancaran pentadbiran aktiviti pelabuhan.