Spritzer hargai barisan hadapan perangi Covid-19
KUALA LUMPUR 25 Mac – Bagi menghargai usaha dan tanda penghargaan kepada semua pahlawan barisan hadapan, Spritzer mengumumkan untuk membekal air mineral secara percuma ketika mereka bertugas.
Spritzer dalam kenyataannya memaklumkan, bekalan air mineral telah dihantar ke beberapa buah hospital dan balai-balai polis di seluruh negara dan akan menyambung penghantaran bekalan tersebut ke seluruh liputan lokasi yang terbabit di dalam memerangi Covid-19.
“Kami amat berterima kasih dan menghargai semua usaha yang diberikan oleh pasukan keselamatan, petugas kesihatan, rakan-rakan media, para penguat kuasa dan lain-lain yang tidak putus-putus bekerja tanpa henti bagi memerangi Covid-19 ini.
“Tiada kata-kata yang boleh menghargai segala jasa anda semua. Sumbangan kecil kami ini tidak mampu untuk membalas segala usaha dan pengorbanan besar kepada negara,” jelas Spritzer.
Spritzer menambah, sejak Januari lalu pihaknya telah menyumbang kepada barisan hadapan di China ketika negara tersebut memerangi Covid-19.
Spritzer juga telah menyumbang kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan membekal air minuman untuk pasukan tersebut pada bulan lepas.