Ekonomi

Spritzer ambil langkah elak gangguan perniagaan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Spritzer Bhd. (Spritzer) menjalankan langkah pencegahan berskala penuh meliputi premis perniagaan utama dan barisan pengeluaran.

Perkara itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan jumlah tenaga kerja yang ramai selain menekankan tahap kebersihan yang tinggi dalam semua operasi pengeluarannya.

Dengan menjalani proses sanitasi dan langkah pencegahan awal, Spritzer berharap dapat menghilangkan sebarang potensi risiko kesihatan dan maklumat salah mengenai keselamatan dan amalan yang boleh menyebabkan gangguan kepada perniagaannya serta reputasi syarikat.

Malah yang paling penting ialah kebajikan para pekerja dan pelanggan.

“Sebagai tambahan, di dalam situasi mendesak selepas pengumuman rasmi kerajaan semalam yang mengehadkan pergerakan, Spritzer akan memastikan kelancaran dan kesinambungan pengeluaran minuman air bersih tidak akan terjejas kerana perniagaan Spritzer disenaraikan antara perkhidmatan penting di dalam situasi ketika ini.

“Proses sanitasi dijalankan di dalam semua premis Spritzer. Ini bagi memastikan kesemua produk dan para pekerja adalah bebas daripada sebarang jangkitan selain kesemua produk kami memenuhi piawaian kebersihan ketat yang menjadi keutamaan sejak lebih 30 tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Spritzer, Kenny Lim.

Jelas beliau, pihaknya mahu setiap orang yang berhubung dengan keluarga Spritzer akan diberi jaminan di dalam situasi tidak menentu ini.

“Kami tidak mengambil mudah sebarang usaha yang melibatkan kesihatan dan keselamatan para pelanggan dan pekerja yang kini menjadi keutamaan penting,” jelasnya.

Sebagai sebuah syarikat berasaskan pengguna dan produk pengguna sihat yang bergerak pantas, adalah penting bagi syarikat mematikan tahap kebersihan dan kebajikan pekerja berada di tahap tertinggi.

Menurut Kenny, adalah penting untuk syarikat menerajui usaha tersebut dalam menjalankan proses menyahjangkitan di premis perniagaan.

Ini tambahnya, bagi memastikan setiap orang diberi langkah keselamatan yang mencukupi khususnya ketika tahap kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan penting agar para pelanggan setia boleh menikmati produk Spritzer dan menjalani aktiviti masa lapang dalam keadaan tenang.

Oleh itu, Spritzer akan memantau secara dekat situasi sebegini berhubung dengan wabak Coronavirus untuk mengatasi sebarang bahaya kesihatan yang berpotensi di semua premis Spritzer.

Spritzer amat komited untuk memperbaiki tahap kesihatan am dan telah meletakkan satu set prosedur keselamatan bagi memastikannya terus dijalankan mengikut garis panduan sedia ada untuk menangani sebarang ancaman kepada tahap kesihatan dan keselamatan semua pemegang taruh.

“Wabak COVID-19 kini berterusan merebak di seluruh dunia. Spritzer percaya adalah penting untuk meneruskan perhubungan dengan pemegang taruh dapat dikekalkan di tahap tinggi dan mengambil langkah-langkah berjaga untuk memastikan kami mendahului selain memastikan semua kemudahan adalah bebas jangkitan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *