
Oleh : ZULKIFLEE BAKAR
SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008, rakyat sudah memberi isyarat kepada UMNO bahawa sokongan terhadap parti itu semakin tergugat. Walaupun pada tahun 2013, UMNO berjaya memenangi 86 kerusi Parlimen berbanding 78 kerusi sebelumnya dan merampas kembali Kedah tetapi pada tahun 2018, UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) hanya menang 46 kerusi Parlimen, lebih parah mereka hilang kuasa memerintah yang dikuasai selama 61 tahun lalu.

Tetapi adakah kemerosotan sokongan itu meresahkan dan menginsafkan pemimpin-pemimpin UMNO? Tidak dapat dinafikan apabila negara berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), rakyat khususnya orang Melayu mulai sedar kesilapan yang mereka lakukan ketika mengundi apabila melihat DAP dilihat cukup berkuasa berbanding PKR, Bersatu apatah lagi Amanah.
Berdasarkan Pilihan Raya Kecil di Cameron Highlands, Tanjung Piai, Kimanis, Rantau dan Semenyih terbukti orang Melayu yang merupakan faktor penentu sokongan kepada UMNO telah kembali kepada parti itu, tetapi apa yang berlaku selepas kerajaan PH tumbang berikutan tindakan Bersatu keluar daripada pakatan tersebut seolah-olah menunjukkan ada dalam kalangan pemimpin UMNO masih belum insaf.
Ada dalam kalangan mereka kemaruk untuk berkuasa dan dilihat `panas badan’ kerana tidak selesa untuk menjadi pembangkang. Justeru apabila terdapat peluang kembali berada dalam kerajaan maka ia disambar tanpa berfikir panjang.
Pendirian supaya Parlimen dibubarkan bertukar sekelip mata apabila menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Memang benar tidak salah untuk memberi sokongan berkenaan apatah lagi pelantikan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi janganlah tunjuk gelojoh sangat mahu kuasa!
Pelbagai cerita yang kini bertebaran berhubung penyusunan Kabinet termasuklah siapa daripada UMNO perlu dipilih hakikatnya telah menjejaskan imej parti itu. Mungkin apa yang dikatakan tidak benar termasuklah ada desakan supaya pemimpin tertentu yang mempunyai kes di mahkamah turut disenaraikan kerana mempunyai jawatan kanan dalam parti. Tetapi itulah persepsi yang ada dalam fikiran rakyat sekarang.
Sepatutnya UMNO mencontohi kepemimpinan Pas yang menyerah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Muhyiddin untuk membentuk Kabinet beliau berdasarkan kriteria utama iaitu berkredibiliti dan berintegriti.
Kenapa perlu ada hantaran-hantaran dalam media sosial yang mewujudkan persepsi kalau kehendak UMNO untuk menyenaraikan orang tertentu dalam Kabinet tidak diterima maka `bersedialah untuk pilihan raya mengejut’.
Soalnya, adakah UMNO begitu yakin dengan perangai yang ditunjukkan ketika kemelut politik berlaku baru-baru ini dan ditambah dengan keterujaan untuk `mendesak’ individu tertentu berada dalam Kabinet, rakyat khususnya orang Melayu akan memihak kepada mereka? Itu belum lagi mengambil kira, krisis dalaman yang mungkin tercetus kerana berebut mahu menjadi calon.
Tidak cukupkah lagi dengan penolakan rakyat dalam PRU-14 sehingga UMNO digambarkan seburuk-burukkan parti di bumi Malaysia ini? Tidak malukah pemimpin-pemimpin UMNO apabila mereka digambarkan kemaruk kuasa? Di manakah maruah pemimpin-pemimpin UMNO apabila dikecam, dihina oleh musuh-musuh politik mereka dengan tuduhan yang belum tentu benar? Bila lagi UMNO mahu insaf?
Dalam kekalutan politik sekarang, UMNO sepatutnya menjadi parti yang sabar bukan gelojoh. Mereka perlu berhati-hati dalam tindakan, bukannya merasakan oleh kerana mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional (PN), mereka boleh tuntut macam-macam. `Hadam’ dan fahamlah, walaupun kini berada dalam kerajaan, UMNO kalah dalam PRU-14! Ini faktanya!
Pada masa sama, jangan fikir jumlah kerusi paling banyak itu boleh kekal. Dalam politik segala-galanya berkemungkinan, apatah lagi lompat melompat parti kini sudah menjadi `penyakit’ yang seolah-olah sukar dibendung seperti mana Corona Virus.
Kalau benar pemimpin-pemimpin berjuang untuk rakyat dan mahu membela nasib orang Melayu, mereka perlu insaf. Ia memandangkan tingkah laku yang ditunjukkan setakat ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan rakyat kembali menjauhi parti itu.
Saya percaya dalam UMNO masih ramai pemimpin-pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan resah dengan kegelojohan’ yang ditunjukkan oleh segelintir pemimpin parti itu, kelompok ini harus bangkit bersuara, bukan untuk mencari populariti tetapi demi menyelamatkan UMNO supaya
tidak dikuburkan’ selama-lamanya.
Kesimpulannya, UMNO benar-benar perlu berhati-hati kerana rakyat khususnya orang Melayu sedang menilai telatah pemimpin-pemimpin parti itu. Jangan sampai akibat kegelojohan mahu berkuasa akhirnya slogan UMNO dulu, kini dan selamanya’ bertukar menjadi
Menyampah dahulu, kini dan selamanya’.
- Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan kolumnis tetap akhbar yang di tutup pada 9 Oktober 2019 itu.