
Kegagalan Datuk Seri Najib Razak memaklumkan lebih awal tentang pertemuan beliau dengan Istana Negara dan gagal hadir pada prosiding perbicaraan pagi ini menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berang.

Ketika perbicaraan kes bermula pada pukul 9.30 pagi, peguam yang mewakili Najib, Rahmat Hazlan memaklumkan mahkamah, anak guamnya dan ahli Parlimen lain dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Rahmat berkata: “Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong.
“Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya, lapor Berita Harian.
Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berang dan berkata, bekas Perdana Menteri seharusnya hadir di mahkamah terlebih dahulu.
“Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.
“Beliau boleh memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kembali semula ke sini,” kata beliau yang memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.
Semalam, prosiding perbicaraan pada sesi pagi terpaksa ditangguh bagi membolehkan Najib menghadiri mesyuarat di WTCKL.
Sequerah berkata, permohonan penangguhan bagi menghadiri mesyuarat atau sebarang acara dibenarkan, namun perbicaraan itu perlu disambung pada sebelah petang.
Najib berdepa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.