
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan seorang pegawainya disiasat susulan penemuan sebanyak 12 pasport antarabangsa pada dirinya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 1 Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihak telah membuka kertas siasatan integriti dan pegawai terbabit ditukar ke Depoh Tahanan KLIA tetapi belum melaporkan diri hingga kini.
Beliau berkata, laporan polis dibuat pada 7 Januari lalu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti Imigresen KLIA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemari nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk tindakan buang kerja jika pegawai terbabit terbukti bersalah,” katanya.
Pihaknya mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau emel aduanintegriti@imi.gov.my.