
KUALA LUMPUR: Rang-Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di dijangka dibentangkan di Parlimen pada minggu akhir Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341], adalah akta untuk membuat peruntukan yang perlu bagi JBPM, bagi memastikan jabatan itu dapat berfungsi dengan berkesan dan cekap, untuk melindungi nyawa dan harta daripada risiko kebakaran, kecemasan.
“Fokus utama pada pindaan terbabit adalah mengatasi isu dan cabaran berkaitan pengurusan dan pengawalseliaan melibatkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), perunding keselamatan kebakaran serta firma perunding keselamatan kebakaran.
“Selain itu, ia melibatkan orang kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, kelengkapan menentang kebakaran atau pepasangan keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar serta pasukan bomba persendirian,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut juga memaklumkan pindaan terhadap Akta 341 juga penting, bagi membolehkan jabatan itu JBPM berkembang sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan kebombaan.
Menurut kenyataan berkenaan, pindaan itu turut untuk memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian negara melalui pendekatan perlindungan nyawa dan harta daripada risiko kebakaran dan kecemasan.