
KUALA LUMPUR : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh lebih RM63 bilion melalui penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perolehan tersebut sekali gus menafikan kumpulan itu menghadapi kerugian.
Katanya, tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan saham MAHB adalah tidak berasas dan sudah ditolak oleh kumpulan itu sendiri melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Februari lalu.
“KWSP mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.
“(Malah) KWSP berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan syariah.”katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mahukan penjelasan jumlah keuntungan atau kerugian KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.
Tambahnya, secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta.
“Aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut,” jelasnya.