
HULU SELANGOR: Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang menunaikan solat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ketika kanak-kanak perempuan terbabit sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita.
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit kini tersebar dalam media sosial.
Wakil masjid itu mengesahkan kejadian terbabit ketika dihubungi sebuah portal berita termasuk tangkapan suspek yang sudah dibuat tetapi enggan mengulas lanjut.
Berdasarkan rakaman CCTV yang tersebar, seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan mendukungnya keluar dari ruangan berkenaan.
Ketika itu, murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah wanita lain yang sedang sujud.
Dalam rakaman berasingan, lelaki itu dilihat bergelut dengan mangsa sambil meraba, memeluk dan cuba melondekan seluar kanak-kanak perempuan tersebut sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes itu.