
GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) giat menjalankan siasatan berhubung tahap keselamatan gula-gula kenyal (gummy) berbentuk mata yang dipercayai punca kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, berkata tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil bagi mengelak kejadian serupa di masa hadapan.
“Hasil siasatan awal mendapati gula-gula itu dipercayai diperoleh dari gerai berhampiran sekolah mangsa.
“Susulan itu, pasukan penyiasat JKNPP melakukan pemeriksaan di premis yang dikenal pasti di Jalan Sungai Dua, Butterworth sebelum menyita ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ (gula-gula) itu.
“Selain itu, JKNPP juga akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daniel turut menasihati orang ramai terutama ibu bapa agar memantau anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan, khususnya yang mempunyai risiko tercekik.
“Sebarang pengambilan makanan bagi kanak-kanak hendaklah berada bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki berkenaan Mohamad Fahmi Hafiz, berada dalam kritikal dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA), Sungai Dua, Butterworth, pada Selasa sebelum meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, malam tadi.