
NILAI: Sebuah pusat jualan permaidani yang pernah terbakar pada 2015, sekali lagi hangus dalam kebakaran di Pusat Borong Nilai 3 di sini, pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran kilang itu melalui talian MERS 999 daripada orang ramai.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Mohd Amin Mokhtar, berkata, pasukan operasi bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 8.01 pagi.
“Kebakaran itu memusnahkan hampir 80 peratus premis yang berkeluasan 120,000 kaki persegi itu dan tiada sebarang mangsa terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 8.55 pagi, dengan kekuatan lapan jentera bomba yang terdiri daripada lima unit Fire Rescue Tender, satu unit EMRS, satu unit ALP dan sebuah Water Tanker.
“Operasi pemadaman kebakaran membabitkan 58 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin, Seremban 2 dan Rantau serta ibu pejabat Seremban,” katanya.
Mohd Amin berkata, agensi lain yang terbabit dalam membantu dan memantau termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Polis Diraja Malaysia.
“Operasi pemadaman masih berjalan meskipun terdapat beberapa risiko seperti runtuhan struktur dan arus elektrik untuk di buat penilaian secara berterusan.
“Punca kejadian dan kerugian dalam siasatan,” katanya.