
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kini lebih baik selepas menjalani rawatan konservatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berkesempatan menghadap Seri Paduka sebanyak dua kali dalam lawatan rasmi ke Bahrain.
“Alhamdulillah, rawatan konservatif di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun harus dipantau.
“Kesihatan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya Seri Paduka Baginda putuskan untuk pulang dahulu esok dan insya Allah meneruskan rawatan jika perlu.
“Tetapi kita bersyukur kerana keadaan Seri Paduka Baginda jauh lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Salman Hamad Al Khalifa.
Kelmarin, menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Anwar dilaporkan mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka.
Sehari sebelumnya, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia, hari ini.
Penyakit itu berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Sultan Ibrahim yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.