
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) berpandangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak menjejaskan aspek keselamatan berdasarkan komitmen dan kerjasama antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAHB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, kerajaan juga tidak menjual saham dalam MAHB, sebaliknya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd iaitu anak syarikat Khazanah Nasional Bhd akan meningkatkan pegangan saham terkumpul dalam MAHB daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
“MAHB akan kekal beroperasi sebagai aset strategik negara meskipun setelah diswastakan nanti.
“Peranan MAHB kekal terhad kepada pengoperasian lapangan terbang di bawah seliaannya, yang mana kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia tersebut kekal berada di bawah pemilikan kerajaan seperti yang termaktub dalam perjanjian pengoperasian,” katanya.
MOT berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai jaminan kerajaan bahawa penjualan saham itu tidak akan menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.
Mohd Nazri juga ingin tahu langkah diambil kementerian bagi memastikan kawalan terhadap aset-aset penting seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak tergugat oleh kepentingan luar.
MOT berkata, kedaulatan dan kepentingan negara akan terus terjamin memandangkan konsortium berkenaan diterajui oleh syarikat-syarikat GLIC menerusi pemilikan majoriti saham 70 peratus.
Di samping itu, kerajaan juga melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] akan mengekalkan pegangan saham khas dalam MAHB, katanya.
Menurut kementerian, MKD selaku pemegang saham khas MAHB berhak dari semasa ke semasa melantik pengarah MAHB termasuk seorang pengerusi dan seorang pengarah urusan bagi memastikan segala keputusan strategik yang diambil oleh konsortium adalah selari dengan kepentingan negara.
Menurutnya lapangan terbang di Malaysia telah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di bawah seksyen 4 dan seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan Tahun 1959 [Akta 298].
Lapangan terbang juga turut disenaraikan sebagai sasaran penting oleh Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, katanya.
Selaras perkara ini, kementerian menerusi CAAM sentiasa memastikan pihak yang terlibat dalam industri penerbangan mematuhi piawaian ditetapkan oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa diutamakan.
Menurutnya CAAM juga telah memperhebat tindakan penguatkuasaan dan pematuhan piawaian dengan meningkatkan program audit berkala dan pemeriksaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini melibatkan pengangkutan udara.
MOT berkata setiap tahun CAAM akan menjalankan audit ke atas MAHB bagi memastikan peraturan dan keselamatan yang ditetapkan oleh CAAM dan ICAO dipatuhi.
CAAM juga melakukan audit keselamatan secara berkala dan rawak untuk menilai dan menambah baik semua aspek keselamatan di lapangan terbang mengikut peraturan dan arahan sedia ada, kata kementerian.