
HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak dalam sebuah masjid dekat Batang Kali awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung video yang tular mengenai kejadian itu dalam media sosial pada pukul 8.19 pagi.
“Suspek berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk direman.
Pada masa sama, maklumat yang boleh dikongsikan hanya berdasarkan kenyataan media kerana polis tertakluk mengikut Akta Kanak-kanak 2001 yang menitikberatkan privasi mangsa dan keluarganya,” katanya menerusi kenyataan.
Ahmad Faizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda disyaki mencabul seorang murid perempuan yang menunaikan solat Subuh.
Kejadian itu berlaku ketika kanak-kanak perempuan terbabit sedang sujud di belakang barisan jemaah wanita.